Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 

- Mei 27, 2021 @ 3:41pm

KOTA BHARU: Dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 dibuka di Kelantan, menjadikan keseluruhan 13 PKRC.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yakob, berkata pembukaan dua PKRC berkenaan susulan peningkatan kes COVID-19 sehingga mencecah lebih 600 kes sehari.

Katanya, dua PKRC berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tanjung Chat.

"SMK Kampung Laut mampu memuatkan 200 pesakit COVID-19 yang sudah mula beroperasi hari ini.

"PKRC berkenaan menggunakan asrama sekolah berkenaan dan boleh menempatkan pesakit COVID-19 yang berusia 35 tahun ke bawah.

"Kita mengkhususkan PKRC berkenaan bagi menempatkan pesakit COVID-19 dari kepulauan Tumpat termasuk Pulau Seratus, Teluk Renjuna dan Pulau Suri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Dr Azman berkata, Dewan JKKN pula boleh menempatkan 250 pesakit dan dijangka beroperasi minggu hadapan.

"Untuk Dewan JKKN, kita perlu menyelesaikan masalah alat pendingin hawa. Sebaik perkara itu selesai, kita akan memasukkan pesakit.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi lain yang bersesuaian untuk dijadikan PKRC, memandangkan trend kes semakin meningkat.

"Antara yang kita sudah kenal pasti ialah dewan institut latihan perindustrian (ILP) dan kita akan membentangkan dalam mesyuarat nanti," katanya.